VIDEO
VIDEO
Pada hari yang mungkin malam Raya, Upin dan Ipin bercerita kepada Opah tentang perihal Ehsan mendapat seringgit kerana berpuasa penuh setiap hari, manakala Fizi pula hanya pandai berpuasa setengah hari. Opah berpesan supaya sentiasa berpuasa penuh pada setiap bulan Ramadan untuk menjadi insan yang baik. Setelah diingatkan oleh Ros, Opah bergegas ke dapur untuk membuat ketupat. Upin dan Ipin meminta supaya memasak ayam, maka Ros menyuruh mereka menangkap seekor.
Sebaik sahaja keluar dari rumah, Upin dan Ipin yang sedang mencari bantuan untuk menangkap ayam, berjumpa dengan Ehsan dan Fizi. Sekali lagi mereka mengejek Fizi kerana tidak berpuasa penuh, maka tidak cukup "pahala untuk masuk syurga", menyebabkan Fizi berasa sesal dan sebak. Kemudian, datangnya Rajoo dan Mei Mei untuk bertanya khabar. Kebetulan pula seekor ayam jantan berlalu di tempat pertemuan mereka, dan bermulalah pengejaran mereka berenam akan seekor ayam untuk kenduri malam raya.
Ketika asyik mengejar-ngejar ayam jantan itu, Upin, Ipin dan kawan-kawan kurang mengambil peduli keselamatan orang kampung. Mereka telah mengotori lantai luar rumah Abang Salleh yang baru dikemasnya dengan jejak kasut mereka; mereka menyebabkan seorang lagi penduduk kampung terenjat elektrik ketika memasang lampu hiasan dengan terhentak tangga yang dinaikinya; dan seorang lagi orang tua di kampung yang tengah masak dodol bertembung dengan mereka lalu jatuh ke dalam kawah yang tengah memasak.
Pengejaran mereka berakhir apabila ayam itu dipungut oleh Opah. Opah bertanya mengapa mereka berkejar-kejar, jawab Upin, Kak Ros yang suruh. Opah menerangkan bahawa dia sudah membeli ayam dari pasar, jadi tiada perlunya untuk mengejar ayam. Tok Dalang datang untuk mengambil balik ayam yang menjadi haiwan belaannya, dengan rasa kecewa terhadap perangai enam orang kanak-kanak itu. Upin dan Ipin berasa geram dengan Kak Ros atas apa yang berlaku, tetapi terpaksa menahan rasa marah kerana sudah diumumkan bahawa Hari Raya jatuh pada hari esok.